Friday, May 14, 2010

Pasang lampu isyarat terlalu banyak


Dari Sinar Harian tarikh May 7, 2010


PUCHONG – Kebimbangan pemilik kedai dan penduduk berhampiran berhubung pembinaan terlalu banyak lampu isyarat berdekatan Jalan 2/21, dekat sini dipandang serius Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kawasan itu.

Tan Jo Hann berkata, pihaknya dimaklumkan persimpangan lampu isyarat itu dibina berikutan menerima aduan terlalu banyak kemalangan memandangkan ia jalan utama menghantar anak di empat sekolah berhampiran.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya agak terkejut dengan pelan pembinaan lampu isyarat itu termasuk kedudukannya yang dikatakan terlalu hampir dengan sebuah restoran, dekat sini.

“Kita akan melihat sistem ini apabila ia mula berfungsi kelak, sama ada sempurna atau sebaliknya.

“Jika tidak betul, mungkin pengubahsuaian akan dijalankan untuk kemudahan dan keselesaan semua pihak,” katanya dalam satu sidang media, di sini.

Jo Hann berkata, penduduk tidak perlu bimbang, malah pandangan mereka juga akan diambil kira dan dipertimbangkan.

“Saya juga akan berjumpa pemaju membincangkan masalah lampu isyarat itu dalam masa terdekat ini.

“Selepas segalanya sudah selesai, baru lampu isyarat itu akan diuji,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk dan pengusaha kedai berhampiran bimbang berikutan lampu isyarat yang didakwa dibina terlalu hampir dengan bangunan komersil itu.


Wakil pekedai yang enggan dikenali berkata, akan timbul masalah tempat meletakkan kenderaan selepas lampu isyarat itu berfungsi kelak.

“Saya lihat terlalu banyak lampu isyarat seolah-olah jalan di sini terlalu sibuk sedangkan ia hanya sesak pada waktu sekolah sahaja.

“Malah, lampu isyarat berhampiran kedai dirasakan tidak perlu kerana hanya akan menimbulkan kesesakan sahaja nanti,” katanya.

Beberapa penjaja di jalan berkenaan juga menyatakan kerisauan sama ada mereka akan diarahkan berpindah apabila lampu isyarat itu berfungsi kelak.

“Ada di antara kami sudah berniaga bertahun dan mempunyai pelanggan sendiri, sekiranya berpindah, ke mana lokasi sesuai.

“Kami juga bimbang kehilangan pelanggan sekiranya diarah berpindah ke lokasi lain,” katanya